Khamis, 10 April 2014

Ayam Kampung

Generasi pertama ayam kampung atau nama saintifiknya Gallus domesticus adalah dari keturunan ayam hutan merah (Gallus gallus). Dengan kemasukan pedagang-pedagang dari Negera China lahirlah generasi kedua ayam kampung iaitu kacukan diantara ayam kampung generasi pertama dengan ayam kampung Canton dari Negera China. Generasi ketiga ayam kampung adalah terhasil dari kacukan beberapa baka asli dari luar negera yang dibawa oleh penjajah Eropah dengan generasi kedua ayam kampung. Dengan ketiadaan sistem kacukan yang dirancang dan terkawal maka terhasillah berbagai-bagai ayam kampung yang dapat kita lihat hari ini . Adalah sukar untuk menghuraikan jenis-jenis ayam kampung dari sifat-sifat fizikalnya. Perbezaan yang amat ketara adalah dari saiz badan juga menjadikan ayam kampung mempunyai ciri-ciri keunikannya tersendiri. Maka lahirlah berbagai gelaran ayam kampung seperti Ayam Botak, Ayam Bulu Balik, Ayam Selasih, Ayam Janggut, Ayam Laga atau Sabung, Ayam Togel, ayam Katik atau Ayam Jepun dan bermacam-macam lagi gelaran mengikut tempat dan loghat. Negara Barat memanggilnya dengan gelaran ayam ternak lepas (free range chicken) atau ayam organik (organic chicken). Ayam kampung dipelihara di kawasan luar bandar dan ada sesetengah penternak menyediakan reban untuk ayam kampung ini tidur pada waktu malam. Jika penternak yang tidak menyediakan reban ayam, ayam-ayam kampung ini akan tidur di atas pokok renek bagi mengelak dari diserang oleh musang pada waktu malam.

Ayam kampung ini mestilah mempunyai peluang untuk bergerak aktif tanpa perlu dikurung pada waktu siang dan pandai mencari makanan tambahan seperti serangga kecil, ulat, belalang dan cacing serta bahan daripada tumbuhan seperti bijirin, buah dan dedaun termasuk dari spesies tumbuhan herba. Kebiasaanya penternak ayam kampung ini akan memberi makanan berupa sisa makanan, lebihan nasi, dedak, jagung, ubi dan sebagainya pada waktu pagi sebelum ayam-ayam ini berkeliaran mencari makanannya sendiri. Ayam-ayam kampung akan bergerak aktif setiap hari. Pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging yang lazat dan berkhasiat tinggi. Daging ayam kampung berprotein tinggi dan tanpa kolesterol menyebabkan harga ayam kampung di pasaran adalah tinggi berbanding dengan harga ayam daging komersil. Daging ayam kampung ini juga agak liat, pejal dan manis berbanding dengan ayam daging komersil yang dijual di pasaran.

Ayam kampung boleh diternak secara separa bebas dengan diberikan makanan komersil dan makanan berasaskan padi sebagai makanan utama. Ekstrak bawang putih, halia dan gula merah boleh dijadikan sebagai antibiotik. Semburan Effecvtive Microorganism (EM) dilakukan secara berkala untuk menghapuskan lalat dan bau yang tidak menyenangkan. Ia juga boleh diberi sebagai minuman kesihatan kepada ayam. Berat ayam kampung untuk dipasarkan ialah: Betina 1.7kg - 1.9kg, Jantan 2kg - 2.5kg.

Telur ayam kampung ini diperolehi dari ayam kampung yang menetas di dalam reban ayam atau di merata tempat yang dikira selamat dari sebarang gangguan haiwan lain. Musuh utama ketika ayam kampung ini bertelur ialah biawak, ular, dan sebagainya yang cuba memakan telur-telur ayam kampung ini. Telur ini memakan masa sehingga 21 hari untuk menetas.

Musuh utama bagi anak-anak ayam kampung yang baru menetas pada siang hari ialah burung helang, kucing dan burung berilau. Manakala sebelah malamnya ia sering diganggu oleh musang dan burung hantu. Kejayaan ternakan ayam kampung ini bergantung kepada baka yang berkualiti, makanan, pengurusan dan persekitaran yang baik. Ayam kampung ini melibatkan perkahwinan secara tabie atau semulajadi iaitu 1 ekor ayam jantan untuk 10 ekor ayam betina dan kebiasaan ibu ayam kampung ini boleh mengeram sehingga 15 biji telur dalam jangkamasa 21 hari.